Seringkali kita dengar dan seringkali juga kita baca, pertemuan pertama berlaku dengan penuh romantis. Mata bertentang mata, kulit tersentuh kulit, proses pelanggaran yang tidak disengajakan dan banyak lagi detik-detik romantis yang pasti membuai perasaan setiap pembaca.
Detik pertemuanku tidaklah seromantis cerpen-cerpen cinta, tidak seromantis puisi nan indah. Pertembungan kami hanya biasa, normal. Pertama kali aku melihatnya ketika pendaftaran kem, hanya satu perkataan yang singgah di benakku, "pelik". Dengan seluar pendek '3 suku', dan topinya yang sangat tidak 'cool', dia nampak aneh. Dan dia juga jujur memberitahuku, dia melihat kelibat singa di wajahku pada ketika itu. Aku tertawa mendangar pengakuannya.
Pertemuan yang berlaku sewaktu kem tersebut telah mencipta satu hubungan persahabatan yang baru. Sejujurnya, aku tidak ingat bagaimana kami boleh menjadi rapat. Apabila aku cuba ingat kembali saat kami mula mesra, imej kami ketawa terbahak-bahak sewaktu mendengar ceramah yang membosankan menjelma. Situasi itu aneh bagiku, kerana aku dikenali dengan sikapku yang tidak peramah, tidak mudah mesra dan sombong apatah lagi dengan orang yang baru dikenali membuatku tertanya-tanya, kemana hilangnya sikap itu apabila bertemu dengannya. Apabila aku ujarkan pertanyaan tentang perkara tersebut, ringkas sahaja jawapannya, "aku kan peramah". Mungkin juga betul. Keramahannya membuatkan aku lupa sikap durjana yang sering diamalkan selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan